Kodana unjur saham RM10j
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
KOPERASI Dana Usahawan Global Bhd (Kodana) yakin dapat mengumpul sehingga 1,000 keahlian sehingga hujung tahun ini dengan unjuran nilai saham RM10 juta selaras kepelbagaian aktiviti perniagaan dan pelaburan yang dijalankan.
Buat masa ini, Kodana mempunyai kira-kira 200 ahli yang terdiri usahawan tempatan daripada pelbagai kaum dengan nilai kumpulan saham RM600,000.
Presiden dan Pengasas Kodana, Elias Omar, berkata Kodana ditubuhkan untuk membantu usahawan tempatan dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan serta menyediakan peluang perniagaan di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, antara aktiviti yang dianjurkan Kodana ialah menyediakan perkhidmatan perundingan perniagaan termasuk dalam bidang pelaburan dan latihan keusahawanan serta program latihan motivasi.
Beliau berkata, pihaknya kini giat menganjurkan Program FEG (Fast Excellent Growth) iaitu program latihan motivasi bagi membantu ahlinya dan orang ramai memahami potensi diri, persediaan menghadapi cabaran dan halangan.
“Selain itu, Program FEG juga mampu membantu peserta program memahami elemen asas untuk berjaya, fokus terhadap kemantapan diri dan kepekaan mental,” katanya ketika ditemui di Subang Jaya, baru-baru ini.
Terbaru, Kodana akan menganjurkan program itu di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 24, 25 dan 26 Ogos ini.
Sementara itu, Elias berkata, Kodana turut menjalankan aktiviti pelaburan dana dengan keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan itu diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen dan faedah lain.
“Kami sudah mengenal pasti beberapa jenis pelaburan yang dijangka dapat memberi pulangan terbaik kepada ahli termasuk dalam perkhidmatan pengurusan kewangan, pelaburan hartanah, pelaburan saham tempatan dan antarabangsa serta pelaburan saham di Bursa Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, menerusi aktiviti dijalankan, Kodana berharap untuk menaikkan taraf kewangan ahli dan membantu ahli dalam tiga bidang utama iaitu pelaburan, perdagangan dan pelajaran selain dibantu kepakaran ahli lembaga pengarah dalam bidang masing-masing.
Selain itu, Kodana juga membabitkan diri dalam perniagaan percetakan media dan pengeluaran produk bioteknologi.
No comments:
Post a Comment